Monday, April 25, 2011

DUIT

Duit atau wang menjadi kuasa yang begitu besar di dunia.Duit yang dicipta dalam bentuk kertas atau syiling begitu berperanan sebagai perantara dalam proses jual beli.Manusia begitu memerlukan wang untuk terus hidup bagi mendapatkan keperluan asas juga keperluan-keperluan lain.
Semasa menghadiri kenduri arwah,saya telah berbual dengan seorang rakan yang mengakronim dan menterjemahkan DUIT itu sebagai D - Doa,U - Usaha,I - Ikhtiar dan T - Tawakal.Menurut beliau,maksud duit itu menjadi falsafah hidupnya dalam mengharungi hidup ini.Mungkin falsafah ini kita boleh gunakan/kongsi untuk membolehkan kita berjaya di dunia dan akhirat.

Tuesday, April 19, 2011

Pilihanraya Sarawak

Keputusan pilihanraya Sarawak bukanlah sesuatu keputusan yang amat menggembirakan pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.Walaupun mereka menang,pihak kerajaan tidak berani untuk mengadakan PRU ke-13 kerana keputusan pilihanraya jelas membayangkan pengaruh DAP dan PKR semakin bertambah.
Oleh itu,pihak kerajaan masih perlu melakukan sesuatu dengan bekerja lebih keras bagi memenangi hati pengundi.Mungkin apa yang telah dilaksanakan dan dilakukan oleh pihak kerajaan belum cukup dan perlu ditingkatkan lagi.
Ada juga kebaikan adanya pihak pembangkang kerana mereka boleh menegur dan menyeimbangkan kuasa yanng ada pada pihak kerajaan.Jika pihak pembangkang tidak kuat;pihak kerajaan mungkin tidak akan bekerja keras untuk memajukan negara dalam semua aspek.
Apa-apapun,pihak kerajaan dan pihak pembangkang mempunyai peranan masing-masing.Bezanya di negara kita,pihak pembangkang belum pernah menewaskan pihak kerajaan.Kepada semua parti politik dan ahli politik,apapun yang anda lakukan kita berharap anda lebih mengutamakan kepentingan negara dari kepentingan diri dan pati.Selamat berpolitik.

Saturday, April 9, 2011

Negara Islam Perlu Pembaharuan.

Pada awal tahun 2011,kita dikejutkan dengan suasana tidak aman di Mesir.Mesir yang dianggap sebagai negara Islam yang menjadi pusat atau tumpuan pelajar Islam dari seluruh dunia untuk menyambung pelajaran di sana termasuk negara kita Malaysia.
Ekoran dari pergolakan di Mesir,pergolakan di Tunisia,Bahrain dan beberapa lagi negara Islam seolah-olah satu fenomena yang agak membawa petaka kepada negara serta imej orang Islam di seluruh dunia.Kekacauan terbaru di Libya menunjukkan bahawa para pemimpin,pemikir,cendikiawan,tokoh agama Islam di seluruh dunia perlu memikirkan sesuatu yang benar-benar dapat mengatasi masalah yang berlaku di kalangan negara Islam ini.
Kita tidak boleh menuding jari kepada pihak Barat semata-mata untuk menutup kelemahan kita.Kita harus mengakui bahawa di kalangan kita asyik bersengketa dan tidak bersatu padu.Ketebalan semangat berpuak seolah-olah menjadi satu masalah kepada negara-negara Islam.Semangat berpuak-puak ini telah mengenepikan semangat bersatu-padu atas nama Islam.
Para pemimpin negara Islam juga perlu mengubah corak pemerintahan dengan mengadakan pilihanraya bagi memilih pemimpin yang baru.Jika kita kaji,Hosni Mubarak berkuasa di Mesir selama 31 tahun dan menyebabkan rakyatnya bangkit memberontak untuk menuntut perubahan.Begitu juga yang berlaku di Libya di mana Muammar Gadafi berkuasa lebih kurang 40 tahun,rakyatnya juga bangkit menuntut pembaharuan dilakukan di negara mereka.Sayangnya,Muammar Gadafi tidak dapat menerima kenyataan ini dan kurang peka dengan kehendak rakyatnya.Seringkali berlaku,apabila kita terlau lama pada satu-satu jawatan akan menyebabkan dua akibat yang berlaku.Pertama,jangkamasa yang lama ini menjadikan kita semakin bertambah baik dan terus baik sehingga menjadi role model.Akan tetapi,jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya maka kita akan menjadi statik dan akan menimbulkan kelemahan serta rasa tidak puas hati di kalangan orang bawahan kita lebih-lebih lagi jika kita tidak dapat menyesuaikan dengan keperluan semasa mereka.

Hidup perlu sentiasa bermotivasi dan berubah.

Saban hari kita merasakan kita asyik menginginkan itu dan ini.Kita merasakan keperluan dan keinginan kita sentiasa serta perlu dipenuhi.Jika ikutkan hati,kita mahu semua.Kita mahu sapu semua.Kita mahu diri kita menjadi yang terbaik dengan memenangi semua gelaran yang baik-baik.Akan tetapi,secara hakikatnya impian kita itu agak sukar untuk dipenuhi.Semua itu adalah khayalan dan kita perlu realistik dengan kemampuan dan keupayaan kita.
Walau bagaimanapun,kita perlu sentiasa bermotivasi untuk melakukan apa sahaja yang hendak kita lakukan.Kita mesti melakukan atau menyiapkan sesuatu dengan cara yang paling baik agar dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik.Kita juga harus sentiasa berubah dari segi pemikiran,perbuatan,perlakuan,tindakan dan sebagainya.Citarasa makanan,fesyen pakaian dan peralatan lain juga sentiasa berubah.Kita harus mengikuti perubahan tapi masih mempertahankan nilai-nilai budaya timur yang baik disamping ajaran agama masing-masing.