Wednesday, July 8, 2009

Pantun

Kajian Teks Pantun Oleh George Jod Bungas.

Pantun Nasihat Dan Pendidikan.

Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung sudah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda dan mentah.

Buah keras makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Barang kerja hendaklah difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Kapal layar bertiang tiga,
Tiang keempat batangan galah;
Amal ikhtiar bahagian kita,
Hasil pendapat di tangan Allah.

Bukan rusa sebarang rusa,
Rusa larangan raja Melayu;
Jangan biasa membuang masa,
Masa berjalan lepas selalu.

Sumber : Zainal Abidin Bakar ( peny. ),1991.
Pantun Melayu.
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.


Cantik sungguh tudung saji,
Orang Melaka jual di pekan;
Jangan bertangguh bila berjanji,
Sampai masanya sila tunaikan.

Sungai Jai jauh ke barat,
Jalan ke sana bersimpang-simpang;
Orang jujur jarang melarat,
Hidup bahagia hidupnya lapang.

Sumber : Wahyunah Haji Abd. Gani dan Mohammad Shaidan ( peny. ),2000.
Puisi Melayu Lama Berunsur Islam.
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.




Maksud Pantun.

Rangkap pertama pantun bermaksud kita harus banyak berusaha jika hendak berjaya.Usaha hendaklah dimulakan ketika kita masih muda demi kesenangan pada hari tua.
Rangkap kedua pantun pula bermaksud setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibuat secara beringat-ingat dan berhati-hati,jangan kita buat ikut suka hati kita sahaja.Pekerjaan yang bakal kita buat mestilah dirancang dengan rapi barulah akan membuahkan hasil yang baik.Kerja yang tidak dirancang akan gagal atau mendapat malu.
Rangkap ketiga bermaksud kita harus berusaha untuk menyiapkan kerja kita dengan bersungguh-sungguh.Setelah berusaha bersungguh-sungguh kita berserah kepada Allah kerana dialah yang menentukan kejayaannya.
Rangkap keempat pantun pula mengingatkan setiap insan supaya memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya,bukan membiarkannya berlalu begitu sahaja.Ini kerana masa akan terus berlalu tanpa menunggu kita walau sesaat pun.
Rangkap kelima bermaksud kita tidak boleh bertangguh bila berjanji.Kita harus menepati janji seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Rangkap terakhir bermaksud orang yang jujur hidup bahagia kerana mereka boleh berfikiran dengan rasional dan waras.Mereka boleh menerima keadaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib dirinya.Mereka hidup bahagia dan berhati lapang kerana mereka berhati baik dan boleh menerima hakikat.

Tema Dan Persoalan.

Pantun ini bertemakan nilai-nilai positif yang perlu diamalkan oleh manusia.Seseorang itu mestilah mengamalkan sikap-sikap positif dalam hidupnya jika hendak beroleh kesenangan dalam hidup.
Pantun ini mengemukakan tiga persoalan iaitu menghargai masa,kuasa Tuhan dan adat berjanji.
Kita harus menghargai masa terutama sekali semasa masih muda.Ini kerana pada masa ini tenaga dan kemampuan masih ada demi untuk kesenangan hidup.Masa juga tidak boleh dibuang begitu sahaja tetapi digunakan dengan penuh perancangan dan semaksimum mungkin.
Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan kekuasaan Tuhan.Manusia hanya mampu merancang dan berikhtiar untuk mencapai apa yang dihajati tetapi Tuhan yang menentukannya.
Dari sudut adat berjanji,janji itu perlu ditunaikan apabila tiba masanya.Orang yang mungkir janji adalah pembohong dan berdosa di sisi Tuhan.


Gaya Bahasa Pantun.

Pantun ini menggunakan gaya bahasa pengulangan dalam rangkap pantunnya untuk menunjukkan keindahannya seperti yang terdapat dalam rangkap 4 baris 4 iaitu;

Bukan rusa sebarang rusa.

Gaya bahasa personifikasi juga terdapat dalam pantun ini seperti yang terdapat dalam rangkap 4 baris 4 iaitu;

Masa berjalan lepas selalu.

Gaya assonasi yang menggunakan huruf vokal seperti a,e,i,o dan u,juga dapat dikesan dalam pantun ini seperti yang terdapat pada rangkap 5 baris 4 iaitu;

“a” - Rusa larangan raja Melayu.

“i” - Sampai masanya sila tunaikan. ( Rangkap 5 baris 4 ).

Gaya bahasa aliterasi juga digunakan dalam pantun ini.

“j” - Jangan bertangguh bila berjanji. ( Rangkap 5 baris 3 )

“l” - Masa berjalan lepas selalu. ( Rangkap 4 baris 4 )

“k” - Buah keras makan dikikir. ( Rangkap 2 baris 1 ).

Penggunaan unsur alam dalam pantun ini juga dapat menjadi tarikan kepada khalayak untuk turut menghayati mesej yang bakal disampaikan.Unsur alam itu adalah melalui perkataan “galah”, “buah keras”, “kapal layar”, dan “rusa”.Unsur alam melalui perkataan ini menampakkan jati diri Melayu dalam pantun ini.


Nada Pantun.

Pantun ini bernada romantis.Secara keseluruhannya,pantun ini mengemukakan nasihat ke arah kebaikan.Contohnya,menasihati kita supaya rajin bekerja,berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak dan beberapa kebaikan lain.
Contohnya rangkap satu pantun iaitu;

Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung sudah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda dan mentah.

Rangkap pantun ini jelas menyeru supaya banyak berusaha untuk kebaikan diri sendiri semasa masih muda dan mencari sebanyak mana pengalaman.





Bentuk Pantun.

Pantun ini berbentuk tradisional dari segi rima,jumlah perkataan dalam baris dan jumlah suku kata dalam baris.
Dari segi rima,rima bagi semua rangkap ialah a-b-a-b.Contohnya rangkap 2 pantun iaitu;

Buah keras makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Barang kerja hendaklah difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Pantun ini mempunyai enam rangkap.Jumlah baris dalam rangkap adalah empat baris serangkap.Berbentuk kuatrin.Dua baris awal ialah pembayang maksud manakala dua
baris akhir ialah maksud.
Jumlah perkataan adalah di antara 4 hingga 5 patah perkataan.Jumlah suku kata pula di antara 9 hingga 11 suku kata.Contohnya rangkap 1 baris 1 ( 8 suku kata )iaitu;

Pi/jak ga/lah sam/bil ber/la/ri.

Baris yang mempunyai 11 suku kata adalah pada rangkap 1 baris ketiga iaitu;

Ba/nyak/kan u/sa/ha ke/pa/da di/ri.


Mesej Pantun.

Amanat yang cuba disampaikan melalui pantun ini adalah seperti pentingnya kita berfikir ketika melakukan sesuatu.Hal ini dapat dikesan pada rangkap 2 pantun seperti berikut;

Buah keras makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Barang kerja hendaklah difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Mesej lain yang terdapat dalam pantun ini ialah sikap malas dan membuang masa patut dihindari.Pantun ini juga mengetengahkan mesej pentingnya kejujuran untuk mencapai kebahagian hidup.

Nilai Dalam Pantun.

Menerapkan nilai kemanusiaan yang mengesyorkan kepada kita agar sentiasa berusaha dan berikhtiar.Kita diseru agar berusaha ketika masih muda dan bertenaga.Contohnya rangkap 1 pantun iaitu;

Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung sudah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda dan mentah.

Mesej lain yang terdapat dalam pantun ialah berfikir sebelum bertindak.Kita haruslah berfikir sebelum melakukan sebarang kerja supaya mendapat hasil yang baik.Contohnya rangkap 2 pantun iaitu;

Buah keras makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Barang kerja hendaklah difikir,
Supaya jangan mendapat malu.



2 Febuari 2008.
Kg. Tingkalanon.

No comments:

Post a Comment