Thursday, July 9, 2009

Kajian Teks Syair

Kajian Teks Syair Oleh George Jod Bungas.

1.0 – Pengenalan.

Menurut Mohd, Yusuf Md. Nor,1985:iii,syair dikatakan berasal daripada puisi Arab iaitu sy’ir tetapi bentuk syair Melayu amat berbeza dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab.
Keseluruhan pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum.Dalam bahasa Melayu,istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus.Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu ( Harun Mat Piah,1989 ).
Orang Melayu mula mengenali syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu.Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat syair dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan selepas itu syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab.

2.0 – Ciri-Ciri Syair.

Syair boleh dikenali melalui bentuk,isi dan perbandingan dengan puisi Melayu tradisional yang lain.Berikut adalah huraian berkaitan ciri-ciri syair:

2.1 – Bentuk Syair.

Menurut Harun Mat Piah ( 1989 ),bentuk syair bahasa Melayu mempunyai beberapa variasi yang bergantung pada rimanya iaitu:

i). dua baris serangkap dengan rima a/b/ ( memerlukan beberapa rangkap ).
ii).tiga baris serangkap dengan rima a/a/b/
iii). empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a/.
iv). empat baris serangkap dengan rima a/b/a/b/,c/c/c/d/,d/d/d/d/, dan seterusnya.
v). empat baris seirama ( monorhyme ).
vi). empat baris berkait.

2.2 – Isi Syair.

Dari segi isi dan tema,terdapat tujuh jenis tema yang berbentuk cerita ( naratif ) dan bukan cerita ( bukan naratif ).Antaranya adalah seperti berikut :

a). Syair bentuk cerita:
i). Syair romantis.
ii). Syair sejarah.
iii). Syair keagamaan.
iv). Syair kiasan.


b). Syair bentuk bukan cerita :
i). Syair agama.
ii). Syair nasihat.
iii). Tema-tema lain yang berasingan.



2.3 – Perbandingan dengan bentuk puisi Melayu tradisional yang lain.

Menurut Jamilah Hj. Ahmad ( 1989 ;ix ),ciri-ciri syair adalah seperti berikut:

i). Syair berbentuk tetap,terdiri daripada rangkap-rangkap yang mengandung empat baris.
ii). Setiap baris mengandung empat atau lima patah kata dengan jumlah suku kata antara lapan hingga dua belas.
iii). Rima hujung setiap barisnya sama,iaitu a-a-a-a.
iv). Untuk menyampaikan satu-satu idea atau tema,unit-unit rangkap syair tidak berdiri sendiri tetapi bersambung-sambung dan menjadi satu kesatuan yang sistematik serta berkembang.Oleh itu,syair sangat sesuai untuk menyampaikan ajaran,nasihat,cerita-cerita,kisah-kisah sejarah dan sebagainya secara lebih indah,padat dan ringkas.

3.0 – Jenis-Jenis Syair.

Syair dalam pengertian kesusasteraan Melayu digarap dengan pilihan kata-kata yang indah untuk memaparkan hikayat lama,peristiwa sejarah,agama,bahan pengajaran,cerita gubahan sendiri dan sebagainya.Pada suatu ketika,syair amat digemari oleh masyarakat Melayu sehingga dipersembahkan dengan irama lagu yang tertentu.
Syair dalam kesusasteraan Melayu,tergolong kepada beberapa jenis iaitu:

i). syair daripada rekaan pengarang yang berisi cerita,misalnya “Syair Bidasari”, “ Syair Dandan Setia ” dan “ Syair Yatim
Piatu ”.
ii). syair yang mengandungi cerita atau hikayat lama,misalnya
“ Syair Ken Tambuhan ”, “ Syair Damarwulan ” dan “ Syair Panji Semirang ”.
iii). syair tentang sesuatu peristiwa atau sejarah,misalnya “ Syair Singapura Terbakar ”, “ Syair Himop ” ( mengisahkan perang yang berlaku antara orang Belanda dengan orang Cina ) dan “ Syair Speelman ”.
iv). syair yang bersifat kiasan dan sindiran,misalnya “ Syair Burung Pungguk ”, “ Syair Nuri ” dan “ Syair Kumbang dan Melati ”.
v). syair yang berisi nasihat dan pengajaran agama seperti “ Syair Perahu ”, “ Syair Ibadat ” dan “ Syair Kiamat ”.






Syair Kiasan.

Syair Perahu
Oleh Hamzah Fansuri.

Inilah gerangan suatu madah,
Mengarangkan syair terlalu indah,
Membutuhi jalan tempat berpindah,
Di sanalah ikhtikad diperbetuli sudah.

Wahai muda kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman,
Hasilkan kemudi dengan pedoman,
Alat perahumu jua kerjakan,
Itulah jalan membetuli insan.

Perteguh juga alat perahmu,
Hasilkan bekal air dan kayu,
Dayung pengayuh taruh di situ,
Supaya laju perahumu itu.

Sudahlah hasil kayu dan air,
Angkatlah pula sauh dan layar,
Padi beras bekal janganlah taksir,
Nescaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
Muaranya sempit tempatmu lalu,
Banyaklah di sana ikan dan hiu,
Menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikan pun banyak,
Di sanalah perahu,karam dan rosak,
Karangnya tajam seperti tombak,
Ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang,
Riaknya rencam ombaknya garang,
Ikan pun banyak datang menyerang,
Hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
Di manakah lalu sampan dan rakit,
Jikalau ada pedoman dikepit,
Sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
Hasilkan pendapat dengan tali sauh,
Anginnya keras ombaknya cabuh,
Lailahaillallah akan tali teguh.

Barangsiapa bergantung ke situ,
Teduhlah selebu yang rencam itu,
Pedoman betuli perahumu itu,
Selamat engkau ke pulau itu.

Lailahaillalah jua yang engkau ikut,
Di laut keras taufan dan rebut,
Hiu dan paus di belakang menurut,
Bertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Sailan terlalu dalam,
Di sanalah perahu rosak dan karam,
Sungguhpun banyak di sana penyelam,
Larang mendapat permata nilam.

Laut Sailan Wahid al-Qahhar,
Raknya rencam ombaknya besar,
Anginnya sonsongan membeluk sangkar,
Perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
Ke sanalah kita semuanya berpindah,
Hasilkan bekal dan juadah,
Selamatlah engkau sempurnalah musyahadah.

Sailan itu ombaknya kisah,
Banyak akan ke sana berpindah,
Taufan dan ribut terlalu azamah,
Perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut kalzum terlalu dalam,
Ombaknya muhit pada sekalian alam,
Banyaklah di sana rosak dan karam,
Perbaiki nan siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
Laut deras bertambah dalam,
Angin pun keras ombaknya rencam,
Ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
Angin yang keras menjadi teduh,
Tambahan selebu tetap yang cabuh,
Selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah Ahad dengan masanya,
Datanglah angin dengan paksanya,
Belayar perahu sidang budimannya,
Belayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
Ilmu Allah akan dayungnya,
Iman Allah nama kemudinya,
Yakin akan Allah nama pawangnya.

Taharah dan istinjak nama lantainya,
Kufur dan maksiat air ruangnya,
Tawakal akan Allah jurubatunya,
Tauhid itu akan sauhnya.

Lailahaillalah akan talinya,
Kamal Allah akan tiangnya,
Assalammualaikum akan tali lenggangnya,
Taat dan ibadat akan dayungnya.

Selawat akan nabi tali bubutannya,
Istighfar akan Allah akan layarnya,
Allahu akhbar nama anginnya,
Subhanallah akan lajunya.

Allahu a’lam nama rantaunya,
Iradat Allah nama bandarnya,
Kudrat Allah nama labuhnya,
Syurga Jannat anna’im nama negerinya.

Sumber: Zuber Usman,1969.
Kesusasteraan Lama Indonesia,
Melaka: Penerbitan Abbas Bandung.


Maksud Syair.

Rangkap satu syair bermaksud,pengarang menjelaskan tentang syair indah dihasilkannya untuk pembaca.
Rangkap dua syair bermaksud,pengarang memfokuskan syair ini kepada golongan muda.Perahu dianggap sebagai tubuh badan seseorang yang tidak kekal di dunia ini.
Rangkap tiga syair bermaksud,hidup mestilah berlandaskan pedoman yang sudah tersedia.
Rangkap empat syair bermaksud,anggota badan mestilah teguh dan kuat untuk melancarkan perjalanan hidup kita.
Rangkap lima syair bermaksd,jika kita mempunyai kekuatan,kita mampu meneruskan hidup dengan sempurna dan tidak sia-sia.
Rangkap enam syair bermaksud,hidup ini penuh dengan pelbagai cabaran yang hanya menunggu peluang untuk mencabar hidup manusia.
Rangkap tujuh syair bermaksud,cabaran-cabaran yang hebat boleh melemahkan manusia.
Rangkap lapan syair bermaksud,jika seseorang itu tidak teguh pendirian atau tidak tahan dengan cabaran,ia boleh menewaskan manusia.
Rangkap sembilan syair bermaksud,jika hidup seseorang itu berpedoman,hidup orang itu akan mudah walaupun perjalanannya terlalu jauh.
Rangkap sepuluh syair bermaksud,kita dinasihati supaya melengkapkan diri dengan keimanan supaya segala bentuk cabaran dapat diatasi.Di samping itu,kita dinasihati supaya percayakan Allah.
Rangkap sebelas syair bermaksud,sesiapa yang bergantung kepada Allah akan beroleh keselamatan.
Rangkap duabelas syair bermaksud,jika Allah yang disembah,segala bentuk cabaran dan kesusahan dapat diatasi.Di samping itu,beriman kepada Allah akan memantapkan hidup kita.
Rangkap tigabelas syair bermaksud,Laut Sailan lambang kepada cabaran yang boleh memusnahkan hidup manusia.
Rangkap empatbelas syair bermaksud,kita dinasihati supaya menguatkan peribadi apabila berdepan dengan pelbagai cabaran.
Rangkap limabelas syair bermaksud,kita semua akan kembali kepada Tuhan.Oleh itu,kita dinasihati supaya melengkapkan diri dengan bekalan supaya memperoleh kebahagian kelak.
Rangkap keenambelas syair bermaksud,pelbagai dugaan perlu ditempuhi oleh manusia.Manusia perlu menguatkan iman mereka.
Rangkap ketujuhbelas syair bermaksud,cabaran-cabaran yang hebat itu perlu ditempuhi oleh manusia dan ada antara mereka yang tidak sanggup menghadapinya.Oleh itu,manusia dikehendaki melengkapkan diri dengan ilmu tidak kira siang atau malam.
Rangkap kelapanbelas syair bermaksud,kita diseru mengingati Allah setiap masa.Maka,kita tidak akan tersesat.
Rangkap kesembilanbelas syair bermaksud,dengan mengingati dan beramal,manusia akan selamat.
Rangkap keduapuluh syair bermaksud,manusia yang lengkap dengan ilmu dan kuat imannya,tidak akan gentar menempuh segala bentuk cabaran.
Rangkap keduapuluhsatu syair bermaksud,ilmu,keimanan dan keyakinan kepada Allah penting dalam hidup manusia.
Rangkap keduapuluhdua syair bermaksud,menyucikan diri,menjauhi perkara terkutuk,bertawakal dan mengakui keesaan Tuhan itu sangat penting.
Rangkap kedua puluh tiga syair bermaksud,di samping mengakui keesaan Allah,kita juga mesti taat kepada Allah.
Rangkap kedua puluh empat syair bermaksud,kita mesti berselawat,beristigfar dan memuji kebesaran Allah.
Rangkap kedua puluh lima syair bermaksud,Allah menguasai alam,kuasa-Nya sangat besar.Allah yang menentukan syurga untuk kita.

Tema dan Persoalan.

Membawakan tema keagamaan yang merujuk kepada tanggungjawab manusia terhadap Tuhan untuk mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.Dalam mencapai tahap kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat terdapat banyak cabaran dalam pelbagai bentuk dan rupa serta kesemuanya dapat mengugat;memesongkan akidah umat Islam.Sehubungan dengan itu,setiap umat Islam perlu memperlengkap diri dengan pengetahuan dan persediaan yang bersesuaian agar tidak dipesongkan oleh godaan tersebut.
Syair ini mengemukakan persoalan keimanan kepada Tuhan akan memastikan kehidupan yang sejahtera bagi manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Persoalan lain ialah kesementeraan hidup di dunia.Setiap makhluk di dunia ini hidup sementara sahaja dan akan mati.Mereka akan kekal di dunia akhirat.
Turut mengemukakan persoalan dugaan hidup di dunia.Hidup di dunia penuh dengan cabaran yang boleh menggugat keimanan manusia.


Gaya Bahasa.

Syair ini banyak meminjam kata daripada bahasa Arab.Hal ini menyebabkan isinya agak sukar difahami.Tambahan pula syair ini simbolik sifatnya dan berkias pula.Kata “ perahu ”,misalnya bermaksud kehidupan yang penuh pancaroba dan perlu disertai dengan amal ibadat sebagai bekalan semasa hidup dan mati.
Pengucapan syair ini terasa indah dengan adanya pemakaian beberapa jenis unsur gaya bahasa.Rima akhirnya yang sejajar memang sedia diketahui menerbitkan keindahan pada pengucapan.Hal ini ditokok pula dengan adanya unsur bunyi yang agak sekata dan berulang pada baris-baris tertentu menerusi pemakaian unsure aliterasi dan assonasi,pengulangan/perulangan,
sinkof,perlambangan, dan simile.
Pengunaan bunyi assonasi dapat ditemukan pada rangkap empat baris tiga dan empat yang mengulang bunyi vokal “ u ” secara berturutan:

Dayung pengayuh taruh di situ,
Supaya laju perahumu itu.

Pengulangan bunyi aliterasi juga membantu meningkatkan keindahan syair ini.Hal ini dapat ditemukan pada rangkap tujuh,pada kesemua baris yang masing-masing mengulang bunyi konsonan “ r ”, “ t ” dan “ s ”:

Muaranya dalam,ikan pun banyak,
Di sanalah perahu karam dan rosak,
Karangnya tajam seperti tombak,
Ke atas pasir kamu tersesak.

Dalam usaha untuk menegaskan sesuatu perkara dan aspek,khususnya yang berkaitan dengan kehidupan dan cabarannya yang dilambangkan melalui “ perahu ”, “ laut ”,
“ pulau ” dan sebagainya. “Perahu ” melambangkan tubuh manusia. “ Pulau ” melambangkan kebahagian hidup. “ Laut ” melambangkan kehidupan yang ditempuhi dan penuh dengan cabaran.

Pengulangan perkataan “ belayar ” di awal baris dapat dikesan dalam rangkap duapuluh baris tiga dan empat syair ini iaitu:

Belayar perahu sidang budimannya,
Belayar itu dengan kelengkapannya.

Penggunaan unsur bahasa sinkop dikesan melalui penggunaan perkataan “ jua ” seperti berikut.

Perteguh jua alat perahumu.

Penggunaan unsur simile pula dapat dikesan melalui penggunaan perkataan “ seperti ”.Contohnya,

Karangnya tajam seperti tombak.


Nada.

Lebih menekankan seruan kepada manusia ke arah kebaikan seperti menyuruh melakukan amal ibadat yang diwajibkan dalam agama.



Bentuk


Rima.

Rima kesemua rangkap syair ini mempunyai rima a-a-a-a kecuali rangkap rangkap kesembilan yang mempunyai rima a-a-a-b.

Jumlah Rangkap.

Syair ini mempunyai 25 rangkap.

Jumlah Baris Dalam Rangkap.

Semua rangkap mempunyai empat baris.Berbentuk quatrin.


Jumlah Kata Dalam Baris.

Jumlahnya adalah antara 3-6 perkataan dalam sebaris.





Jumlah Suku Kata Dalam Baris.

Jumlahnya adalah antara 9-14 suku kata sebaris.


Mesej.

Membawa mesej tentang pentingnya beriman kepada Tuhan.

Membawa mesej tentang pentingnya kita menyedari kesementaraan hidup di dunia ini.

Kita mestilah tabah menjalani hidup ini dengan menempuh segala dugaan yang boleh menggugat keimanan kita.

Pentingnya kita beribadat dan melakukan kebaikan di dunia ini.



Nilai


Nilai Kemanusiaan yang dapat dikesan dalam syair ini menyentuh nilai keyakinan,keberanian dan tanggungjawab.

Keyakinan
Yakin kepada Allah yang menghidupkan kita dan mematikan kita.

Keberanian
Keberanian menempuh pelbagai cabaran hidup di dunia ini yang boleh menggugat keimanan kita.

Tanggungjawab
Tanggungjawab manusia terhadap agama dengan melakukan suruhan Tuhan.

Kg. Tingkalanon,
15 MAC 2008.

1 comment:

  1. menarik ulasan.Taw pasai syair ni lepas perhati lirik lagu Jerangkung dalam Almari

    ReplyDelete